Mengapa “Kehadiran Makna”?

Buku ini bertujuan untuk memberi “nyawa kedua” kepada mereka—manusia dan bukan-manusia (non-human)—yang telahpun pergi. Menerusi pengumpulan semula (recollection) dan penjelmaan kembali (re-enactment) jejak-jejak peninggalan, maka setiap yang berlaku dan berlalu boleh dimanfaatkan oleh generasi semasa. Peranan makna telah memungkinkan perkara ini. Luhmann, makna hakikatnya tidak hadir begitu sahaja. Makna boleh bergelut dengan keadaan ketiadaan makna, kehilangan makna dan ketaksampaian makna.

Mendung Memali: Suatu Trauma Tanpa Kebudayaan

Memali merupakan suatu peristiwa berdarah di Malaysia. Peristiwa menyayat hati yang berlaku pada 19 November 1985 ini telah disebut sebagai “pembunuhan beramai-ramai” (Tunku Abdul Aziz 2011: 156) dan juga “peristiwa hitam dalam lipatan sejarah negara” (Rahilah & Siti Fathihah 2012: 79). Pada hari tersebut, menurut Riduan & C.N. Al-Afghani (2010), Memali mendung berserta hujan mencurah; seakan bertafakur memperingati darah-darah yang menyimbah bumi. Sebagai bencana yang disebabkan oleh ‘tangan’ manusia, bukan sepertimana beberapa bencana alam (yang bebas pengaruh manusia), peristiwa Memali disorot dengan beban moral yang bingkas membahagikan puak kebaikan dengan puak kejahatan.

Adakah Ashura Sebuah Trauma Kebudayaan?

Trauma kebudayaan, sebaleknya, mengambil unsur rekonstruksi sebagai suatu yang mustahak. Malah, bagi Alexander lagi, trauma boleh sahaja berdasarkan kepada peristiwa yang berlaku mahupun tidak berlaku. Apa yang lebih penting pada trauma kebudayaan ini ialah bagaimana sesuatu peristiwa masa lalu memberi kesan kepada peristiwa masa kini. Bukannya, sebaleknya, seperti yang ditekankan dalam teori trauma biasa-biasa. Pada Alexander, boleh sahaja peristiwa masa lalu yang tidak mempunyai makna pada peringkat awalnya, lalu dari masa ke semasa dicari dan diberi makna oleh kumpulan kecil yang berpengaruh (carrier group)