Mendung Memali: Suatu Trauma Tanpa Kebudayaan

Memali merupakan suatu peristiwa berdarah di Malaysia. Peristiwa menyayat hati yang berlaku pada 19 November 1985 ini telah disebut sebagai “pembunuhan beramai-ramai” (Tunku Abdul Aziz 2011: 156) dan juga “peristiwa hitam dalam lipatan sejarah negara” (Rahilah & Siti Fathihah 2012: 79). Pada hari tersebut, menurut Riduan & C.N. Al-Afghani (2010), Memali mendung berserta hujan mencurah; seakan bertafakur memperingati darah-darah yang menyimbah bumi. Sebagai bencana yang disebabkan oleh ‘tangan’ manusia, bukan sepertimana beberapa bencana alam (yang bebas pengaruh manusia), peristiwa Memali disorot dengan beban moral yang senang membahagikan puak kebaikan dengan puak kejahatan.