Wawancara ini dilakukan pada 1 September 2021 via Whatapps sebagai sebahagian daripada projek mengenai kebebasan akademik yang dilakukan oleh Naratif Malaysia dengan kerjasama MARI. Walau bagaimanapun, wawancara ini tidak disiarkan ketika itu memandangkan tempoh projek telahpun berakhir sebelum wawancara dilengkapkan. Wawancara ini disiarkan bagi mengenang pemergian Ahmad Lutfi Othman pada 9 Julai 2022. Al-Fatehah.

Ahmad Lutfi Othman merupakan seorang wartawan yang banyak menulis mengenai politik tanahair. Walau bagaimanapun, kerjayanya bermula sebagai salah seorang aktivis pelajar di universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tersingkir ekoran penglibatan aktifnya dengan gerakan tersebut. Penyingkirannya—sekaligus sebagai mangsa AUKU—membuka jalan kepadanya untuk menjadi seorang wartawan yang kritis dengan politik status quo. Kini, meskipun dalam kesakitan, beliau berkesempatan berkongsi pandangannya mengenai AUKU dan kebebasan akademik.

NM: Anda merupakan antara mangsa akibat dari AUKU. Sebagai rekod dan mungkin penegasan kembali, sudikah anda berkongsi sedikit catatan pengalaman anda sebagai seorang mahasiswa tatkala berdepan dengan AUKU? Apa peristiwa, kesan dan tanggapan yang anda peroleh menerusi pengalaman tersebut?

ALO: Kes pemecatan saya sebagai pelajar UTM pada 1986 menimbulkan polemik berpanjangan. Di pihak universiti, ia adalah isu akademik, manakala banyak pihak melihat ia berkaitan aktivisme saya sebagai Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UTM. Kebetulan, beberapa ketika sebelum dipecat, sebuah tabloid politik menyiarkan “ugutan” saya  kepada Menteri Pendidikan semasa itu, di muka depan. Ketika itu juga timbul kontroversi kes penyingkiran pelajar UTM yang berpurdah dan saya agak lantang membela mereka. Bagi saya, tindakan UTM kepada mahasiswi tahun akhir yang berpakaian menutup muka itu jelas zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Waktu itu saya di tahun akhir pengajian ijazah kejuruteraan awam. Memang keputusan peperiksaan untuk semester akhir itu, saya gagal. Puncanya, saya tak hadir menjawab banyak kertas kerana uzur. Saya mohon agar dibenarkan menduduki peperiksaan itu semula atau sekurang- kurangnya mengulangi pengajian tahun lima tersebut.

Sebenarnya suasana masa itu agak panas. Kebetulan sehari selepas penamaan calon PRU1986, selepas solat Jumaat, satu demonstrasi besar mahasiswa Lembah Klang diadakan di UTM, Jalan Gurney, yang melibatkan isu purdah. Jadi, saya kira ia turut menpengaruhi keputusan universiti. Begitu juga dengan surat rayuan saya yang agak keras.

Apa pun, saya tidak berkecil hati, apatah lagi untuk menyimpan dendam dengan peristiwa 35 tahun lepas itu. Sehingga Tan Sri Ainuddin Wahid, Naib Canselor UTM meninggal dunia, hubungan peribadi saya dengan almarhum kekal baik. Saya kerap menziarahinya. Kebetulan kami mendapat rawatan fisioterapi di rumah akibat stroke daripada ahli fisioterapi yang sama.

Alhamdulillah, episod ini melorongkan saya menceburi kerjaya kewartawanan politik dan mendapat ramai kenalan baru, juga melihat dunia daripada perspektif lebih luas. Saya juga semakin tertarik hati dengan dunia  perjuangan anak-anak muda di universiti. Dunia kampus merupakan gelanggang terbaik untuk bereksperimen, mengembangkan potensi dan menyuburkan idealisme.

NM: AUKU sering dikaitkan kepada usaha untuk mengekang kebebasan akademik. Sejauh pemerhatian anda, benarkah AUKU telahpun berjaya mengekang kebebasan akademik?

ALO: Seperti saya sebutkan, elit pemerintah kita tidak berjiwa besar, sentiasa rasa diri betul semuanya, dan beranggapan kritikan atau teguran bertujuan menjatuhkan kerajaan.

Lebih buruk ia mewujudkan budaya takut dan sikap suka mengampu termasuk di kalangan akademik. Masing-masing lebih tertumpu untuk jaga kepentingan diri. Tidak rasa resah dengan keadaan masyarakat dan lingkungan. Ilmu tidak dimanfaatkan untuk mendorong dan  menggerakkan perubahan. Kita menjadi semakin terasing dan terpisah dengan masyarakat. Justeru hubungan dunia kampus bagai terputus dengan ratap derita dan konflik yang ditanggung rakyat.

Justeru itu, para ahli akademik mesti bebaskan diri daripada budaya takut ini, lepaskan rantai kongkongan yang sambung-menyambung itu.

Harus ada yang memulakan tradisi mencabar ini. Ilmu bukan setakat dicurahkan di dewan kuliah atau tercatat dalam kertas penyelidikan, ia mesti dikongsi bersama khalayak lebih meluas dengan pendekatan merakyat.

NM: Selain daripada kebebasan akademik, kesan yang berkaitan ialah ketumpulan idealisme dan aktivisme di kalangan ahli akademik dan mahasiswa. Adakah dunia idealisme dan aktivisme ahli akademik dan mahasiswa telahpun kendur secara perlahan-lahan sejak tergubalnya AUKU?

ALO: AUKU seperti juga banyak peraturan lain yang mengongkong dan menekan kebebasan,  ia meninggalkan impak buruk berpanjangan. Sehinggakan imiginasi dan khayalan untuk melihat suasana lebih baik, adil dan demokratik pun terhalang. Aktivisme pelajar dan ahli akademik sering dicurigai dan diwaspadai dan diganggu.

Ya, benar, perlahan-lahan idealisme golongan terpelajar ini semakin dibatasi sehingga terhad kepada citarasa murahan semata-mata. Masing-masing menjaga kepentingan diri semara-mata.

Namun saya juga tidak bersetuju untuk menyalahkan AUKU semata-mata. Ia hanya rentetan cabaran dan halangan kepada mana-mana gerakan perubahan. Sewajarnya pendiri kebenaran harus berani berdepan dengan segala rintangan itu. Bersedia untuk melawan dan bercakap benar. Majoriti rakyat bersedia untuk mendukung kita jika mereka melihat komitmen golongan terpelajar ini sedia berkorban dan bersungguh-sungguh membumikan ilmu mereka.

Menurut saya, gerakan pelajar selepas AUKU terasa benar kemalapannya walaupun sesekali terdengar juga sikap kepedulian mereka apabila tercetusnya konflik besar dalam negara. Namun ia gagal menyerlahkan kekuatan satu generasi pendesak yang berkesan. Ia satu kelompangan besar yang merugikan negara sebenarnya. AUKU ibarat orang tua yang sengaja mencacatkan anggota badan anak-anaknya.

NM: Meskipun berdepan dengan AUKU, terdapat ahli akademik dan mahasiswa yang masih meneruskan idealisme dan aktivisme mereka tanpa mempedulikan AUKU. Anda adalah salah seorang darinya. Malah, terdapat ramai lagi yang turut berani. Menurut anda, dari manakah keberanian ini datang?

ALO: Saya percaya dalam setiap zaman pasti ada golongan penberani, khususnya di kalangan anak-anak muda. Rakaman sejarah juga membuktikannya. Golongan ini yakin dan hidup dengan idealisme murni. Mereka resah-gelisah melihat kezaliman bermaharajalela dan tidak tunggu diam apabila keadilan dirobek. Nurani mereka sentiasa mendorong untuk melakukan kerja-kerja pembebasan, meskipun risikonya juga besar. Mereka tidak mahu nenjadi orang tua sebelum masanya. Mungkin mereka nampak seperti “nakal, terburu- buru atau kurang matang”, tapi itulah kelebihan generasi muda.

Maaf, saya rasanya tidak termasuk dalam golongan pemberani itu. Cuma saya kira saya tidak juga tergolong dalam kelompok yang cukup penakut. Setiap kita ada rasa berani tapi tetap bijak menyimpan ketakutan.

Secara peribadi, jika berdepan situasi genting, saya sering membayangkan apa senario terburuk yang bakal menimpa. Misalnya, mendengar ura-ura ditahan tanpa bicara ISA pada 1989, saya gambarkan keadaan paling buruk di pusat tahanan. Ya, apalah sangat dikurung dalam sel kecik, tidur atas simen, atau didera mental dalam tempoh lama. Kita belajar untuk sesuaikan dengan dengan apa jua keadaan. Lapangkan minda kita, reda dengan takdir, sabar seketika, malam pasti berganti siang, hujan ribut pasti reda akhirnya.

NM: Setiap lapisan dalam masyarakat mempunyai peranan yang tersendiri. Ini terasuklah peranan lapisan golongan yang dianggap terpelajar, seperti ahli akademik dan mahasiswa. Apakah wajah masa depan negara sekiranya ahli akademik dan mahasiswa tidakpun merasakan kebebasan akademik sebagai suatu yang penting?

ALO: Sebenarnya kita sudahpun melalui zaman muram-durja selepas AUKU dilaksanakan pada 1975 dengan pindaan lebih ketat. Tanpa sedar kita kehilangan satu generasi muda yang tiada apa-apa kepentingan dalam perjuangan mereka. Begitu juga dengan kewujudan kelompok intelektual atau cerdik-pandai yang dibiayai dana rakyat yang cukup besar.

Dalam banyak keadaan seolah-olah elit politik yang cukup dominan dalam kehidupan bernegara. Peranan semak-imbang kelompok mahasiswa dan ahli akademik semakin terhakis, begitu juga fungsi sebagai pembimbing dan pemandu masyarakat. Keadaan tambah buruk apabila media massa kita dikongkong.

Negara rugi besar apabila dua kelompok besar, iaitu mahasiswa dan ahli akademik hanya sibuk dengan urusan dunia  masing-masing sahaja. Sedangkan ia adalah aset paling berharga buat pembinaan negara atau sesebuah tamadun. Sambil mengharapkan perubahan pada elit politik yang mengakibatkan perubahan dalam polisi negara, mahasiswa dan ahli akademik mesti lebih proaktif memperjuangkan nasib mereka sendiri. Kebebasan perlu dihayati dan diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh. Ia tidak datang sendiri, ia bukan anugerah yang sekadar ditagih.

NM: Kini AUKU telahpun mencecah 50 tahun (1971-2021). Apakah yang boleh kita renungkan dan ambil iktibar dari separuh abad AUKU ini?

ALO: Biarpun agak lambat untuk bingkas bangun daripada kejumudan akibat penindasan ketara AUKU, dan budaya takut seperti menyerkup warga kampus, saya yakin, dalam diam proses pendemokrasian semakin berkembang. Cuma kita perlukan lebih ramai wira-wira pemberani. Ramai sudah menyedari ruginya negara kita, terutama untuk bersaing di peringkat global, apabila aset besar negara ini telah “dicacatkan”. Potensi khazanah berharga itu telah ditumpulkan. Dunia menyaksikan iklim demokrasi yang lebih segar. Jadi, mengapa harus Malaysia memilih jalan yang salah?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s