Lazimnya, naratif dianggap sebagai penceritaan atau pengkisahan, yang merangkumi dua perihal yang klise: peristiwa dan representasinya. Misalnya Malaysia, sebagai sebuah negara-bangsa, dibina berdasarkan kepada rentetan peristiwa yang mana maknanya diperoleh berdasarkan tafsiran terhadap peristiwa-peristiwa tertentu. Pembahagian, antara peristiwa dan representasi, ini tidak sepatutnya dipermasalahkan kerana ia adalah suatu yang bukanpun kontroversi.

Namun, naratif sebagai sebuah konsep, memang merupakan suatu yang kontroversi. Lagi-lagi kalau ianya bertujuan untuk mewakili sesuatu ketetapan yang mutlak, unggul dan menyeluruh. Inilah yang menjadi mauduk perbincangan kita: untuk menggelakkan diri kita terjebak dalam kebanggaan kesempurnaan.

Untuk perbincangan, kita ingin menarik halus-halus apa yang terkandung di sebalik pembahagian antara peristiwa dengan representasi. Dalam kata lain, pembahagian ini boleh juga diwakili menerusi gadingan antara objek dan subjek. Sebelum pergi lebih lanjut, menggunakan kaedah pembahagian bukanlah sesuatu yang revolusioner, kerana pendekatan ini juga lazim digunakan pakai hanya berbeza istilah seperti; dialectics, form, distinction, difference, dan sebagainya. Semua ini hakikatnya adalah suatu pembahagian.

Beberapa istilah boleh mengambarkan keadaan “antara objek dan subjek.” Ini termasuklah intersubjektiviti, komunikasi mahupun budaya. Kesemua istilah ini sebenarnya adalah usaha untuk menafikan adanya apa yang dianggap sebagai mutlak, unggul dan menyeluruh; yakni, kesemua ini merujuk kepada “things outside of individual subject.” Dalam hal ini, naratif adalah suatu yang berfungsi dalam ruang yang terletak antara objek dan subjek.

Lantas, memberi sebarang nilai kepastian kepada konsep naratif bererti mematikan makna naratif itu sendiri. Naratif hanya mungkin wujud dengan asas kemungkinan, bukannya dengan asas kepastian. Justeru, dengan nilai kemungkinan ini, maka naratif sebenarnya adalah suatu konsep yang kabur, dan tidak boleh dipercayai bulat-bulat.

Mengusung kata naratif pada sebuah pertubuhan barangkali adalah suatu kerja gila, kerana ianya tidak mungkin dapat menawarkan apa-apapun kepastian. Apatah lagi menyertai sebuah pertubuhan yang bernama Naratif Malaysia, mungkin terdiri dari ahli-ahli yang gila; kerana nama tersebut ibaratnya ingin menjasadkan konsep naratif yang sifatnya memang sudah kabur.

Tetapi, memang hidup ini suatu kerja gila, suatu kerja yang benar-benar tidak ada kepastian. Apa yang ada ialah kekaburan dengan pelbagai anggapan kebenaran; kekaburan adalah kembar kelahiran kita. Jadi, apa yang menariknya dengan konsep naratif ini jika ianya hanyalah kekaburan semata-mata?

Bagi saya, kekaburan adalah rahmat.

Kekaburan membuka ruang kepada perkongsian, suatu tabii kepada apa yang kita namakan sebagai budaya. Ini kerana, budaya merupakan suatu rangkaian makna yang disusun berdasarkan kepada kata dan imej sekelilingnya. Kata dan imej ini disusun dalam suatu kebudayaan, sehingga melahirkan naratif-naratifnya yang tersendiri.

Namun, kata dan imej ini tidak berdiri dengan sendirinya. Setiap kata dan imej bergantung kepada nilai akses dan motif penciptaannya. Inilah sekali lagi yang menjadikan naratif sebagai suatu yang memang kabur, kerana setiap kata dan imej yang dikemukakan adalah amat bergantung kepada nilai paparannya dan motivasi paparannya (sama ada oleh penghasil mahupun pengamat).

Justeru, cabaran bagi mereka yang ingin menggunakan naratif sebagai sebuah konsep ialah bagaimana untuk mewajarkan kekaburan ini? Dalam ungkapan lain: bagaimana naratif, sebagai suatu konsep, dapat mendamaikan paradoks antara tabii kekaburannya dengan tawaran kekuatan konsepsualnya.

Untuk tujuan ini, maka kita boleh bulatkan konsep naratif—dari pembahagian peristiwa/representasi serta subjek/objek—kepada suatu idea penggumpulan. Naratif Malaysia, sebaiknya, merupakan sebuah perkumpulan para tukang kumpul.

Menjadi pengumpul bukannya pekerjaan lekeh, seperti sekali lalu pendengaran kita. Sebaleknya, tukang kumpul adalah mereka yang maseh mempunyai nilai agensinya, namun tetap membuka koleksinya kepada pelbagai kemungkinan. Ruang ini adalah interaksi hubungan antara “collected objects” dengan “subjective agency.”

Perlu kita sedari bahawa tukang kumpul pada awalnya tidak mempunyai motivasi asas pengumpulannya, selain daripada motivasi ringkas seperti minat, hiburan atau apa-apa saja kebetulan. Malah, peringkat awal seorang tukang kumpul adalah dipenuhi dengan ketidaktahuan, ketidakpastian dan kekaburan. Pepatah menyatakan, ignorance is bliss, maka begitu juga dengan tukang kumpul yang permulaan pengumpulannya bermula dengan “initial blindness.”

Bahkan, kita boleh pergi lebih jauh dengan menyatakan tradisi kumpul-mengumpul ini sebagai “the basic of human feature”; yang membezakannya hanyalah apa benda yang dikumpul dan apa makna benda yang dikumpulkannya.

Dalam kata lain, perkerjaan tukang kumpul adalah perkerjaan yang melibatan pengamatan tertib-kedua (second order observation), yang mana sedia menghimpun segala persamaan dan perbezaan naratif yang diperoleh. Ini sekaligus membezakan perkerjaan tukang kumpul dengan pekerjaan pembikin naratif yang lebih bersifat pengamatan tertib-pertama (first-order observation). Pengamatan seperti ini, pada satu tahap tertentu, mudah terperangkap dalam kancah ideologi dan ekstremisme.

Selain itu, salah satu kelebihan memahami naratif dengan perspektif kerja sebagai tukang kumpul ialah setiap pembangunan naratif (‘baharu’ atau ‘lebih-baik’) dapat diselitkan secara tidak langsung dalam kerja tukang kumpul. Sebagai contoh, seorang tukang kumpul koleksi pinggan mangkuk tidaklah bermula dengan niat awal untuk mengumpul satu siri mak nenek pinggan mangkuk. Barangkali ia bermula dengan secara tidak terjangka; bermula dengan hadiah, pembelian rambang, dan sebagainya.

Namun, jika suatu contingency ini disusuli dengan siri pengumpulan pinggan mangkuk, lagi dan lagi, maka tukang kumpul tersebut telahpun membina satu koleksi yang akhirnya boleh tampak harmoni antara permulaan, pertengahan dan mungkin pengakhirannya.

Menggunakan pembahagian awal-tengah-akhir mampu mencirikan keadaan tukang kumpul ini, sesuai dengan tradisi penceritaan dan pengkisahan. Ini adalah salah satu cara untuk memberi makna kepada suatu peristiwa atau objek, sekaligus melengkapkan takrif naratif tersebut.

Namun, kita mahu merumitkan sedikit perbincangan, lebih-lebih lagi kita nantinya mahu menggunakan konsep naratif dalam perspektif yang lebih luas. Justeru kita boleh juga memahami konsep naratif sebagai kerja tukang kumpul ini menerusi pembahagian akademik; fabula, actor, story dan narrator.

Fabula adalah plot, actor adalah agen, story adalah plot yang telahpun disubjektifkan manakala narrator adalah penglipurnya. Sebagai penjelasan lanjut, fabula merupakan suatu plot yang sering dibahagikan dengan awal-tengah-akhir, tetapi story pula adalah suatu yang boleh memanipulasi susunan awal-tengah-akhir ini. Justeru, untuk menjadi tukang kumpul yang lebih canggih, maka kita tidak perlu terkekang dengan skema tuntutan awal-tengah-akhir, lantaran tukang kumpul, yang secara tidak langsung adalah juga seorang narrator, lebih mementingkan “meaningful sequence” berbanding dengan “chronological sequence.”

Sekarang kita mungkin boleh berkira-kira untuk menerima konsep naratif sebagai tukang kumpul, terlepas betapa buruknya istilah tukang kumpul ini di telinga khalayak. Cuma persoalannya, bagaimana menggunakan konsep naratif dalam konteks Malaysia?

Malaysia, adalah sebuah negara-bangsa. Justeru itu, dengan menggunakan konsep naratif sebagai tukang kumpul, maka kita sebagai sebuah pertubuhan hendaklah benar-benar menjiwai sifat dan sikap sebagai seorang tukang kumpul sejati, sama seperti semangat si tukang kumpul pinggan mangkuk.

Pertama, kita tidak wajar menakrifkan Malaysia dengan suatu ungkapan yang mutlak, seperti “milik Melayu,” Negara Islam” dan sebagainya. Memberi takrif sebegini adalah bercanggah dengan konsep naratif yang tidak pernah ada definitif yang jelas. Naratif, hakikat asasnya, lebih menghampiri unsur fiktif berbanding unsur fakta.

Kedua, kita tidak wajar memberi suatu waktu permulaan kepada Malaysia. Menetapkan tarikh tertentu—seperti kemerdekaan, permulaan kesultanan tertentu, atau detik era tertentu—sebagai titik awal hanyalah menjadikan Malaysia sebagai suatu projek yang mati dan kaku. Lantaran itu, kita mesti bersedia membuka sebarang kemungkinan untuk sebuah projek Malaysia, yang mana kemungkinan ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah projek bangsa yang sentiasa bergerak (bangsa in-motion, meminjam istilah yang cuba dikembangkan oleh Ruhan Shahrir Abdul Halim).

Ketiga, untuk memastikan wujudnya suatu siri kumpulan naratif, sama seperti siri pinggan mangkuk, maka adalah wajar Naratif Malaysia mengagaskan suatu idea yang mencerminkan ketekalan dan kewajaran apa yang dikumpulkannya. Kita boleh mengumpul sebanyak mungkin naratif-naratif Malaysia, atau nations-of-intent (meminjam istilah Shamsul Amri Baharuddin), memandangkan tugas kita adalah si tukang kumpul.

Akan tetapi, memberi makna kepada keseluruhan naratif ini juga adalah merupakan suatu tuntutan Naratif Malaysia, selagi mana ianya tidak menyanggah tabii si tukang kumpul. Justeru, konsep seperti kepelbagaian, kerencaman, keanekaan dan seumpamanya, wajar diketengahkan oleh Naratif Malaysia. Menjadikan suatu Malaysia yang rencam bukan sahaja tidak bercanggah dengan semangat tukang kumpul, tetapi ia dapat  memberi makna kepada kesemua naratif-naratif yang telahpun dikumpul.

Dengan langkah ini, yang diatur secara tersusun dan istiqamah, maka Naratif Malaysia boleh menawarkan sebuah naratif yang digemari ramai ekoran daya keterangkumannya serta berupaya mengemukakan suatu naratif yang “lebih memikat” berbanding naratif-naratif lain.

Menggunakan istilah “lebih memikat,” bukannya bertujuan untuk Naratif Malaysia mendominasi suatu perspektif tunggal secara halus. Tetapi, Naratif Malaysia yang berdiri atas tradisi pengumpulan, mempunyai kelebihan berbanding naratif-naratif lain kerana ianya adalah pangkalan pengumpulan kepada kebanyakan naratif sehingga hujungnya boleh terserlah naratifnya yang tersendiri; yang berdiri atas dasar kerencaman.

Dengan taktik sebegini, Naratif Malaysia masih lagi menjaga ‘fakta’ gagasan khusus naratif Malaysianya sebagai “a matter of degree” berbanding sebagai “a matter of certainty.” Hanya saja, dalam usaha menyeludup gagasan “lebih memikat” ini janganlah sampai kepada kedarjahan fetishism sebab gerakan ini awalnya hanyalah didorong oleh minat dan hiburan. Naratif Malaysia, dan ini perlu sentiasa diawasi, bukannya sebuah berhala.

Esei ini dibentangkan semasa Kursus Induksi Naratif Malaysia yang diadakan menerusi atas talian pada 11 April 2021.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s