Ingatan dalam bentuk ramai, bukan lagi suatu bantahan. Biarpun Susan Sontag menyerang hendap dalam “Regarding the Pain of Others”, gagasan ingatan ramai (collective memory) semakin ampuh. Buktinya: Halbwachs menerusi La mémoire collective, Warburg menerusi Mnemosyne, Nora menerusi Les Lieux de Mémoire dan Assmann menerusi Das kulturelle Gedächtnis.

Akan tetapi, bolehkah ingatan berbentuk global pula? Lebih rinci lagi, bolehkah sesuatu upacara peringatan dikenangi secara global? Ini persoalan yang dikemukakan oleh Levy dan Sznaider dalam “The Holocaust and Memory in the Global Age”. Persoalan ini cuba diteroka oleh mereka bagi melihat aspek-aspek kosmopolitan dalam ingatan ramai (collective memory). Holokos adalah sumber analisanya.

Levy dan Sznaider berhujah bahawa upacara peringatan boleh merebak menjadi kosmopolitan tatkala objek mnemoniknya telah dinyah-wilayahkan (de-territorialised) daripada lokasi asalnya. Ia diubah dari penanda yang khususnya (specific signifier) kepada penanda yang kosong (empty signifier) yang mana ini memungkinkan pembangunan hubungan antara satu peristiwa kepada peristiwa yang lain.

Apa yang boleh difahami di sini ialah, kita memahami Holokos bukan dalam kaitannya dengan peristiwa Perang Dunia ke-2 semata dan bukan juga dalam kaitannya terhadap penindasan terhadap kaum Yahudi sahaja. Akan tetapi, mengenang Holokos bererti mengenang soal pembunuhan beramai-ramai (massacre), yang menyentuh isu moral dan kemanusiaan. Dari nilai universal inilah, bilamana kita mengungkapkan Auschwitz ia langsung membawa erti global.

Malah, ekoran perkembangan jaringan komunikasi, globalisasi dan segala bentuk aktiviti transnasional, maka ini semua menjadikan objek mnemonik daripada peristiwa besar dunia lebih mudah merentas negara dan wilayah. Bruce Robbins (1998: 7) ada menyebut:

“If people can get as emotional as [Benedict] Anderson says they do about relations with fellow nationals they never see face-to-face, then now that print capitalism has become electronic-and digital-capitalism, and now that this system is so clearly transnational, it would be strange if people did not get emotional in much the same way, of not necessarily to the same degree, about others who are not fellow nationals, people bound to them by some transnational sort of fellowship.”

Ternyata, globalisasi memang memberi kesan kepada upacara peringatan peringkat global. Ia bukan sahaja merancakkan aktiviti ekonomi, malah, turut merancakkan aktiviti kebudayaan. Dengan globalisasi inilah, maka suatu perasaan bersama boleh dimiliki oleh setiap manusia tanpa mengenal sempadan kaum, negara dan wilayah. Selain Levy dan Sznaider menulis “The Holocaust and Memory in the Global Age”, Ran Zwigenberg turut menulis mengenai ingatan global dalam Hiroshima dalam “Hiroshima: The Origins of Global Memory Culture”.

Berbicara mengenai Hiroshima ini membawa kita kita Saito (2015). Menurutnya, “What it articulates and commemorates has become has become “cosmopolitanized” through the inclusion of the sufferings of foreign others.” Malah, Mary McCarthy ada menyatakan bahawa peristiwa ledakan bom atom di Hiroshima ini dikenali sebagai “a hole in human history.” Kerana itu, setiap peristiwa yang menyentap rasa kemanusiaan boleh diangkat sebagai suatu ingatan global. Ia bukannya merapatkan lagi jarak antara mangsa dan pelaku, sebaleknya memperlebarkan lagi. Di sinilah, perluasan tentang mereka yang terangkum dalam kelompok “we” and “them.”

Di samping itu, Peristiwa serangan 11 September 2001 adalah satu contoh yang persis Holokos dan Hiroshima dalam membangun idea ingatan global. Mangsa bukan sekadar mereka yang tercedera dan terkorban dalam serangan tersebut. Malah, mangsa turut meliputi orang Islam di Eropah akibat Islamofobia, orang Asia yang dipandang serong dan orang Arab yang dicurigai. Hatta, mereka yang beragama secara umumnya juga boleh digolong sebagai mangsa akibat dari peristiwa tersebut. Di sini, mereka yang menjadi mangsa tidak lagi khusus, sebaleknya semakin meluas.

Selain daripada itu, peristiwa 11 September 2001 juga bukan sahaja diingati oleh orang Amerika, akan tetapi, ia juga diingati di seluruh dunia sebagai suatu ingatan global. Ia, bahkan, diangap sebagai suatu peristiwa yang menusuk “humanity-as-a-whole.”

Jelas sekali, peristiwa besar ini sangat memberi kesan kepada banyak orang diluar Amerika sehingga mereka maseh boleh mengingati apa yang mereka lakukan saat pertama kali menerima berita ini. Persitiwa seperti ini, akhirnya, telah meninggalkan penanda (marker) yang sangat ketara sehingga melakar perbezaan antara sebelum dan selepas akan sesuatu peristiwa besar yang berlaku. Kemampuan untuk melakar perbezaan sebelum dan selepas ini (pada tingkat sejagat) menjadi antara asas penting bagi pembangunan ingatan global.

Pendek kata, sesuatu peristiwa besar dunia sangat berpotensi untuk diingati di tahap global. Lagi-lagi, kalau peristiwa tersebut bersifat traumatik. Ini kerana, peristiwa yang penuh traumatik mampu mengusik rasa kemanusiaan sejagat yang mana ini mengundang rasa kebersamaan yang merentasi sempadan kaum, negara dan wilayah. Holokos, Hiroshima dan 11 September hanyalah sebahagian contoh yang menjadi rangkuman dalam ingatan global.

Rujukan:

Robbins, Bruce. 1998. “Introduction Part I: Actually Existing Cosmopolitan,” P. Cheah & B. Robbins (Editor), Cosmopolitics: Thinking and Feeling beyond the Nation. Minneapolis: University of Minnesta Press.

Levy, Daniel & Sznaider, Natan. 2006. The Holocaust and Memory in the Global Age. Philipedia: Temple University Press.

Saito, Hiro. 2015. “From Collective Memory to Commemoration,” John R. Hall, Lauran Grindstaff dan Ming-Cheng Lo (Editor) Handbook of Cultural Sociology.London & New York: Routledge, 629-638.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s